04/04/2022
Semoga Allah melindungi Ustazah dan kita semua dr kemurkaan Allah..trm kasih Ustazah krn berani bersuara utk mengingatkan kami semua.
Yang ramai kecam juga dalam kalangan IBU AYAH, katanya pergi bukan guna duit Ustazah pun, kenapa nak sibuk hal orang, dan lain-lain yang lebih pedih.
Duhai IBU AYAH, bukankah kalian yang selama ini berkata sayang pada anak-anak sampai Syurga dan berdoa untuk berkumpul disana. Bukankah kalian yang selalu inginkan anak-anak selamat daripada bahaya dunia, jika mereka sakit kalian tak tidur lena dan sanggup korban apa sahaja.
Tiada kasih sayang yang lebih tulus seorang Ibu Ayah melainkan mereka berusaha dengan hati, perkataan dan tindakan untuk melindungi anak-anak daripada melalui jalan yang salah dan terpesong daripada menuju ke Syurga. Itulah bukti kasih sayang sejati.
Adakah kalian begitu naif bahawa suasana konsert sebegini akan berlakunya percampuran lelaki dan perempuan, kadang minuman najis berjaya dicuba, lebih jauh lagi ia boleh menjadi langkah pertama menuju kepada penzinaan. Jika sebelum ini kita dihadapkan dengan fakta konsert M****** pun dah jumpa banyak K***** bersepah bila waktu pagi ketika pihak yang membersih kawasan menjalankan tugas.
Suasana terkinja-kinja dan saling hilang kawalan diri, walaupun asalnya si anak ni seorang yang pemalu dan sopan,namun suasana sangatlah mempengaruhi seseorang, pakaian p**a tak boleh dibayangkan, pasti akan disesuaikan dengan konsert supaya tak dilihat janggal. Bertemulah dengan kawan baru, sekelip mata no. tel saling bertukar, merasai nikmat kebebasan atas nama ‘sporting’ IBU AYAH.
Iya, istilah jangan jaga tepi kain orang terus dilaungkan walaupun kain tu dah terselak hingga membuka aib sendiri. Kita hanya ingin tarik kain tu supaya aibnya juga terpelihara, kerana prihatin dan tanggungjawab. Kami selaku pendakwah menanggung amanah yang akan dihisab kelak. Saat melihat KEMUNGKARAN YANG DIBENARKAN SECARA TERBUKA OLEH PIHAK YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB. Adakah iman tidak bersuara, atau lesu juga bersama ayat sangka baik,
“Alahai itu Justin Bieber je, itu sekadar hiburan je, bukan selalu sekali sekala je, kadang-kadang remaja perlu diberi kebebasan nanti memberontak, jika berdosa nanti taubatlaaa”
Tuan Puan,
Saat Arab Saudi Anjur konsert Riyadh Season ramai yang kecam dan menginsafi bahawa itu adalah petanda akhir zaman, rasa terkejut kerana baru nak melepasi Musibah Wabak, ingatkan menjadi lebih kuat Ibadat, tapi rupanya Penjaga Tanah Suci membuka pintu Maksiat dan lain-lain.
Terlalu sedih, bila budaya ini sampai ke Tanah Air sendiri, Malaysia yang dicintai, masing-masing boleh mengubah rasa itu kepada sesuatu yang dianggap biasa, normalisasi sengaja buat maksiat lepas tu taubat telah menjadi tipudaya yang sangat berjaya hawa nafsu dan syaitan. Istilah terlambat bila berlaku sesuatu yang mudharat akan cuba dicantikkan juga dengan ayat “adalah hikmah disebalik” 😣, walaupun hakikatnya musibah itu sendiri dicari bukan diberi.
Allahu Akbar, kita tahu tiket dah habis pun terjual. Satu konsert yang harganya sangat mahal begitu mendapat sambutan di Negara Islam Malaysia. Selepas ini, nantikanlah konsert lain p**a bakal menyusul, atas nama hiburan itu keperluan, maka suburlah budaya hedonisme. Terbentuk jelaslah generasi hamba hiburan, itulah nanti menjadi sumber pendapatan pihak penganjur yang tamak.
Ini bukan doa atau sangka buruk, menulis daripada pengalaman menguruskan kes masalah sosial remaja dan penyesalan Ibu Bapa. Janganlah normalisasikan pendidikan, “bagi depa rasa dulu apa yang nak, esok dah jemu depa berhentilah..”. Nauzubillah, bimbang Ibu Bapa dan anak tak sempat taubat sebelum mati.
Saya tak sedih dikecam dan dihina, siapa saya ni untuk dihormati dan dimuliakan, banyak kekurangan dan dosa sendiri yang lebih menjadikan diri ini hina. Kesedihan adalah apabila melihat sesuatu kemungkaran namun ramai yang berdiam.
Terima kasih semua yang memberikan sokongan dan doa, ini adalah perjuangan kita, moga menjadi saksi dan catatan amal soleh kita bersama. Sayang dan kasih sahabat semua kerana Allah dan Rasulullah. Di atas jalan ini kita bertemu, semoga di Syurga Allah kita bersatu. Takbir, ALLAHU AKBAR ✊.
حسبنا الله ونعم الوكيل
Asma’ binti Harun
2 Ramadhan 1443H