22/02/2024
Ketika mengimbas kembali memori Facebook enam tahun lepas, tergerak hati saya nak tulis sebuah kisah yang terjadi.
Kejadian itu berlaku pada bulan Jun 2017, tepat pada hari pertama Raya Aidilfitri, satu saat yang tak akan pernah saya lupakan.
“Bang, saya minta maaf, kami tak boleh lagi nak terlibat dengan program abang di kandang kambing di Maeps Serdang itu. Lepas raya nanti kami ada rancangan lain dan dah tak boleh lagi beri komitmen seperti kita rancang sebelum ini" begitulah pesanan ringkas yang saya terima dari Amar.
Sebelum ini, Amar dan pas**annya menguruskan segala hal terkait dengan konsep makan di tepi kandang yang baru saja kami perkenalkan di situ.
Konsep 'Do it Yourself' (DIY), di mana pelanggan yang ingin menikmati kambing bakar di tepi ladang kami, akan disediakan set kambing perap beserta beberapa menu sampingan yang akan mereka bakar sendiri.
"Cara seperti ini lebih mudah, Bang. Ketika kita menerima pesanan dari pelanggan yang ingin datang, baru kami siapkan set untuk mereka. Kita tidak memerlukan dapur dan tukang masak untuk konsep ini," demikian salah satu rencana kami sebelum memulai projek tersebut.
Pada waktu itu, kambing perap Pak Mat Western belum dijual secara meluas; mereka baru mulai menjual kambing perap pada tahun 2019 tak salah saya.
Projek ini berkembang dari melayani seorang dua pelanggan hingga puncaknya, menerima dua ratus pelanggan sehari selama bulan puasa. Memang meletihkan, tetapi sangat seronok bila melihat kepuasan pelanggan menikmati hidangan di dalam ladang.
Ketika Amar tidak dapat melanjutkan projek tersebut, saya mulai berbincang p**a dengan Pak Hamidon.
"Bagaimana ini, Don? Projek kita baru nak meriah, tetapi pas**an katering kita dah hilang. Siapa p**a nak buat lepas ni?" tanya saya kepada rakan kongsi.
Sebenarnya, kami tidak pernah terfikir untuk terlibat dalam urusan memasak. Pernagaan kami mennguruskan projek pembangunan dan penternakan skala besar, tidak terfikir untuk beniaga di bidang kulineri.
Setelah hari raya, kami terus berkumpul di ladang. Pak Hamidon sudah menyiapkan dapur, dan anaknya, Hazirah, telah menyiapkan beberapa jenis sos perapan dan sos cecah.
“kita cuba setiap sos perapan ni lihat mana yang paling padu, sos cecah mana yang paling sedap sekali” .
Maka kami pun memulai sesi memanggang daging kambing perap dan mencubanya satu demi satu.
Pada ketika itu juga, saya mengadakan sesi fotografi daging dengan bantuan beberapa anak yang datang membantu, mengambil gambar dari berbagai sudut hanya dengan telefon bimbit.
Gambar ini penting karena kami ingin mula membuat poster menu dan bahan promosi untuk menjemput orang lain.
Strategi ini berjaya, ramai kawan-kawan mula membuat tempahan untuk datang makan tepi kandang dengan konsep DIY kami itu.
Hari demi hari, semakin ramai yang datang, membuat kami merasa tidak selesa lagi menjalankannya di sisi kandang tanpa dapur, tukang masak, dan lain-lain.
Mujurlah kemudian pihak Mardi menawarkan kami untuk mengoperasikan kafeteria terdekat yang sudah lama tidak aktif. Kafe ini sangat besar, dapat menampung hingga 400 pelanggan sekaligus. Bagaikan mengantuk disorongkan bantal.
Di sinilah dimulai episod baru kami dalam menjalankan perniagaan restoran berkonsep kambing yang kami namakan Goat2Go. Kebanyakan menu berasaskan kambing, seperti kambing bakar dengan arang, kari kambing nasi dulang, sup kambing, kambing goreng, nasi goreng kambing, dan pelbagai menu lain.
Selama bulan Ramadhan, kami menyelenggarakan Buffet Ramadhan yang dapat menerima hingga 600 pelanggan sehari dengan tema buffet kami, "Makan kambing sampai pitam," di mana mereka dapat menikmati kambing bakar tanpa had. Mujur juga, tiada sesiapa yang pitam. Semua gembira dapat makan kambing sepuas-puasnya.
Demikianlah kisah dan pengalaman ketika sesuatu berjalan tidak seperti dirancang, ia sebenarnya boleh menjadi satu peluang untuk kita berkembang dengan cara lain yang mungkin lebih cemerlang.
Oh ya, kafe itu masih ada hingga sekarang, begitu juga kandang kambing, bahkan sudah ada zoo Binatang Kesayangan G2G Animal Garden dan juga sebuah dewan acara besar yang dinamakan G2G Wedding Hall.
Cumanya semua perniagaan ini telah bertukar tangan kepada pemilik baru ketika saya dan rakan kongsi menjual saham kami pada tahun 2021 selepas PKP yang lalu.
Saya kemudiannya memulakan perniagaan baru dari kosong, iaitu GTR Burger pada Febuari 2021 juga.
Nordin Mat
Pendiri GTR Burger