16/05/2024
Sejarah MERLIMAU
Merlimau, Terhasil Dari Amalan 'MELIMAU KERIS dan MARA RIMAU'.
Ramai orang-orang tertanya-tanya tentang asal nama "Merlimau" atau bagaimana Merlimau dapat namanya. Daripada tradisi lisan atau cerita-cerita mulut terdapat dua cerita. Seperti yang diperkatakan ada dua kelompok keturunan terbesar di Merlimau iaitu Bugis dan Palembang.
Sumber pertama: Cerita orang-orang Palembang
Dikatakan orang-orang Melayu dahulu sangat pandai bermain senjata istemewanya keris. Mereka adakan latihan bersilat, berpencak atau seni mempertahankan diri setiap hari. Masing-masing mempunyai keris sebagai senjata persendirian yang dibawa ke mana-mana mereka pergi untuk mempertahankan diri dan menentang musuh. Keris ini dijaga dan dipelihara. Cara menjaganya ialah "diusap dan dilimau". Ini bermakna keris mereka mesti diusap dengan kemenyan dan diurut dengan limau. Tradisi melimau keris ini masih terdapat dikalangan masyarakat Melayu khasnya yang menyimpan keris pusaka. Upacara ini dinamakan "Upacara Melimau Keris". Setiap malam Jumaat, keris mereka mesti dilimau. Dalam upacara ini mereka berkumpul di rumah Tok Guru untuk melimau keris. Bila ditanya, "Hendak ke mana?", mereka menjawab, "Hendak melimau", dan akhirnya tempat itu dinamakan "Merlimau".
Orang Palembang di Merlimau juga adalah dari keluarga Demang. Merlimau merupakan Perkampungan Keluarga Demang yang berada di semenanjung Melaka di zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Sumber kedua: Cerita keturunan Bugis
Pada tahun 1511, Pembesar Orang Bugis yang berhijrah ke Merlimau ialah Datuk Kaya Makmun. Beliau pada asalnya telah menebas, menebang hutan untuk membuat kawasan kediaman. Waktu itu di pedalaman atau di hulu sungai Merlimau adalah hutan yang tidak pernah diterokai. Hutan belantara yang begitu besar dikatakan banyak didiami oleh binatang buas terutamanya harimau. Harimau sentiasa mengancam pendatang baharu ini kerana mereka tinggal di pinggir hutan tebal. Sehubungan dengan itu Datuk Kaya mengarahkan orang-orang mereka membuat pagar menahan serangan atau menahan bahaya harimau. Dalam bahasa dahulu disebut "Mara Rimau", di mana mereka membuat pagar untuk menahan kemaraan harimau yang akan mengancam kehidupan mereka. Mereka menamakan tempat ini sebagai Mara Rimau, dan akhirnya menjadi "Merlimau".
Ditulis oleh:
HJ BAHARAM BIN AZIT
MERLIMAU, MELAKA