14/07/2021
Hari ini 38 tahun yang lalu, permainan video Mario Bros. dilancarkan oleh Nintendo buat pertama kali di Jepun.
Watak Mario dicipta oleh Shigeru Miyamoto dan Gunpei Yokoi pada 1981, asalnya bernama Jumpman yang menjadi karakter utama dalam permainan arked Donkey Kong, di mana Jumpman perlu menyelamatkan kekasihnya yang diculik Donkey Kong.
Bertitik tolak daripada kejayaan Donkey Kong, Miyamoto dan Yokoi mengolah Jumpman menjadi Mario, daripada identiti sebagai seorang tukang kayu kepada tukang paip, dan membangunkan siri khusus untuk watak tersebut.
Kisah popular bagaimana Mario mendapat namanya adalah apabila suatu hari pejabat Nintendo of America diserbu masuk oleh pemilik bangunan tersebut, seorang warga Itali-Amerika bernama Mario Segale, untuk menuntut bayaran sewa.
Mario Bros. menampilkan dua watak, Mario dan adiknya Luigi, yang menyiasat sistem pembetungan bawah tanah New York ekoran kemunculan makhluk aneh di situ. Misi mereka adalah untuk menghapuskan makhluk-makhluk tersebut.
Ada empat musuh utama, Shellcreeper si kura-kura, Sidestepper si ketam, Fighter Fly si lalat dan Slipice yang membekukan permukaan platform. Selain itu ada juga bebola api merah dan hijau sebagai musuh tambahan.
Untuk menghapuskan mereka, Mario atau Luigi perlu menghentam dari bawah platform untuk menterbalikkan mereka, dan sebelum mereka kembali ke posisi asal selepas enam saat, pemain perlu melompat ke atas musuh tersebut.
Ia pertama kali diperkenalkan sebagai permainan arked pada 14 Julai 1983, sebelum diterbitkan untuk konsol Nintendo Entertainment System (NES) dalam Super Mario Bros. pada 1985 yang menjadi antara permainan video terbaik pernah dihasilkan.
Susulan itu, pelbagai lagi sekuel dan ‘spin-off’ diterbitkan, seperti Super Mario Land, Super Mario Bros. 3, dan Super Mario World. Menjelang penghujung 1993, lebih 100 juta permainan video dengan tajuk Mario telah terjual di seluruh dunia.
Dengan musik tema ikonik ciptaan Yukio Kaneoka, siri Mario menjadi antara siri permainan video paling berjaya sepanjang zaman dan Mario diangkat sebagai maskot Nintendo.
Sumber: IGN, Retrogame Man