15/03/2022
Suami kantoi curang dengan gadis belasan tahun
Kisah dugaan rumah tangga bukan hanya melibatkan isu salah faham antara suami dan isteri, bahkan kehadiran orang ketiga dalam perhubungan lebih menyakitkan.
Menerusi perkongsian Tiqahmell di media sosial, memaparkan seorang wanita menerjah rumah sewa yang didiami suaminya dan menemukannya sedang berdua-duaan dengan seorang gadis berumur 16 tahun.
Lebih menyedihkan, apabila si suami kelihatan lebih memilih gadis tersebut meskipun keadaan isteri dan anaknya sedang menangis ketika itu.
Sementara itu, menurut saksi yang juga berada di tempat kejadian, memaklumkan terdapat beberapa balang kaca dijumpai yang dipercayai bagi tujuan mengambil bahan terlarang.
“Habis bersepah balang kaca (tempat hisap) dekat rumah arwah tokwan.
“Rasa dah sebulan lebih kena halau, jiran dah lama perhatikan sebab risau benda ini makin parah. Dadah dan perempuan dalam rumah, memang jiran halau la,” kata saksi berkenaan.
Dalam pada itu, menjengah ke ruangan komen, wanita tersebut tampil menjelaskan keadaan sebenar.
Katanya, selepas pertengkaran berlaku antara dia dan suami, akhirnya dia telah diceraikan.
Walaubagaimanapun, wanita berkenaan mengakui dia merasa lega serta berlapang dada dengan perpisahan yang berlaku terhadap rumah tangganya.
“Tak apa, saya baik sahaja,sekarang dia dah ceraikan saya dan saya rasa lapang dada.
“Saya tak ada air mata untuk dia lepas bercerai, saya cakap terima kasih,” luahnya.
Dalam pada itu, perkongsian tersebut turut menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai dan rata-ratanya geram dengan tindak lelaki itu yang memilih untuk berlaku curang serta gagal menjaga anaknya dengan baik.
“Kesiannya tengok video ini, orang perempuan janganlah terdesak sangat nak suami orang, moga satu hari perempuan itu dapat balasan setimpal,” kata Natasha.
“Ingat semua, buruk mana pun kita, jahat mana pun kita, jangan pernah rosakkan kebahagiaan rumah tangga orang lain,” ujat seorang pengguna.
Selain itu, Nor Alisa Azam turut berkongsi pengalamannya apabila berdepan dengan situasi sama seperti wanita itu.
“Saya dah rasa lebih dari ini, sekarang ini, nak kahwin lain pun fikir banyak kali, lebih baik hidup sendiri,” kongsinya. – Sumber : Kosmo Online